SELAMAT TINGGAL BULAN 8
“Tukar Kerajaan bulan 8, soalan saya nombor 8.”
“Bulan 8, bye bye!”
Kedua-dua ini adalah kenyataan bulat-bulat dari Ahli Parlimen PN, Marzuk Shaary dan Shahidan Kassim di Dewan Rakyat.
Ini bukan kenyataan yang disunting atau diolah. Ini diambil terus daripada hansard Parlimen.
Semalam bulan 8 telah melabuhkan tirainya. Dato’ Seri Anwar Ibrahim masih di Perdana Putra. Kerajaan Perpaduan kekal stabil dengan sokongan dua pertiga.
Soalnya, bila Muhyiddin Yassin mahu mengangkat sumpah? Adakah jumloh yang doh cukup seperti yang dilafazkan Haji Hadi masih belum mencukupi?
Hakikat yang kita perlu sedar, persepsi bahawa Kerajaan Perpaduan akan ditumbangkan pada bulan 8 hanyalah propaganda jahat yang mahu meyakinkan anda kononnya Kerajaan sedia ada tidak stabil.
Ini satu bentuk sabotaj. Hal seumpama ini juga boleh menjejaskan keyakinan pelabur.
Perkara ini diakui sendiri oleh Perdana Menteri semasa program Temu Anwar di USIM pada bulan Jun lalu.
Sedari awal, kempen berbayar di media sosial mula digerakkan oleh PN dengan mesej ‘PMX bakal jadi XPM’.
Kemudian, dakyah betapa kemenangan PN dalam PRN 6 Negeri bakal mengubah kerajaan pusat disebarkan.
Kini selepas bulan Ogos tamat, rakyat berharap agar propaganda murahan ini juga ditamatkan.
Sudah-sudahlah.
Kalau sekalipun PN tetap meneruskan strategi politik ini, rakyat sudah boleh menilai dengan lebih bijak.
Jangan sesekali termakan dengan dakyah songsang tersebut.
Sultan Johor sudah bertitah agar rakyat memberi masa kepada Perdana Menteri untuk memulihkan ekonomi.
Malah sewaktu awal-awal lagi, semasa pembukaan penggal Parlimen ke-15, Yang di-Pertuan Agong sudah menzahirkan pengharapan agar Dato’ Seri Anwar Ibrahim merupakan Perdana Menteri terakhir sebelum Baginda berangkat pulang ke Negeri Pahang.
Pesan penulis buat pemimpin PN, hentikanlah berpolitik. Jadi pembangkang yang bijak dan baik. Rakyat sudah bersuara.
Kalau sekalipun kamu tidak mampu untuk menghormati suara rakyat, sekurang-kurangnya hormatilah suara institusi diraja.
Lagipun, bukankah kamu yang terpaling Melayu dan Islam? Mana mungkin pejuang bangsa dan agama sebenar melawan titah diraja.
Renung-renungkan.

Comments
Post a Comment